27 February 2008

Gempur Tokai jika mahu kuasai Pendang

///////////hangpa ingat kami nak duk diam saja kah....
kami akan GEMPUR sg tiang...




Gempur Tokai jika mahu kuasai Pendang

Oleh SHARIZA ABDULLAH
PENDANG merupakan satu-satunya kawasan Parlimen di Kedah yang berjaya ditakluki Pas pada pilihan raya umum 2004. Namun jika dilihat kepada sejarah Pendang, kawasan ini cukup sinonim dengan pengaruh pembangkang.
Malah sejak negara mencapai kemerdekaan, kerusi Parlimen ini sering bertukar tangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas pada setiap kali pilihan raya.
Parlimen Pendang mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Tiang dan Tokai yang masing-masing dikuasai oleh BN dan Pas.
Pada pilihan raya kali ini, kedudukan Pendang dianggap masih terbuka dan ia amat bergantung kepada sikap pengundi di kawasan ini.
Jika dilihat kepada keputusan empat pilihan raya yang lepas sejak 1995, termasuk pilihan raya kecil 2002, sebanyak empat kali Pendang bertukar tangan antara BN dan Pas.
Pada pilihan raya umum 1999, calon BN, Datuk Othman Abdul gagal mempertahankan kerusi Pendang apabila tewas kepada Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dengan majoriti 2,939 undi.
BN kemudian menguasai semula kerusi tersebut menerusi pilihan raya kecil yang diadakan ekoran kematian Fadzil pada 2002. Pilihan raya kecil itu diadakan pada 18 Julai 2002.
Othman yang diberi kepercayaan untuk bertanding sekali lagi di Parlimen berkenaan berjaya menewaskan calon Pas, Dr. Mohamad Hayati Othman dengan majoriti 283 undi.
Bagaimanapun, pada pilihan raya umum 2004, Pas sekali lagi dipilih pengundi apabila Mohanad Hayati menewaskan calon BN, Datuk Md. Rozai Shafian dengan majoriti tipis 50 undi.
Kekalahan BN ketika itu dikaitkan dengan kesilapan strategi selain pengurusan pilihan raya yang kurang kemas.
Hakikatnya, sikap pengundi yang berubah-ubah itu mencerminkan bahawa Pendang bukan kubu kuat Pas seperti yang dianggap sesetengah pihak.
Kemenangan calon Pas pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti tipis turut meletakkan parti pembangkang itu dalam keadaan 'tidak selesa' untuk mempertahankannya.
Sebenarnya, Pas dikatakan kuat di Pendang kerana pengundi di DUN Tokai sentiasa memihak kepada mereka.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-11, calon parti itu, Mohamed Taulan Rasul menumpaskan calon BN, Shamsuddin Tahir dengan majoriti 4,719 undi.
Tetapi keadaan itu diimbangi oleh pengundi di DUN Sungai Tiang (N19) yang pada pilihan raya umum lalu memilih calon BN, Suraya Yaacob untuk menjadi wakil rakyat mereka.
Suraya ketika itu menewaskan calon Pas, Abdul Mutalib Awang dengan majoriti 4,250 undi.
Ada pihak berpendapat jika BN ingin menawan Pendang, mereka perlu menggempur DUN Tokai selain memastikan sokongan pengundi BN di DUN Sungai Tiang semakin mantap.
Md. Rozai yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pendang ketika ditemui Utusan Malaysia optimis bahawa BN akan menawan kembali Parlimen itu pada pilihan raya kali ini dan beliau sekali lagi menjadi sandaran BN bagi menggalas cabaran itu.
"Rakyat dapat melihat dengan jelas, meskipun Parlimen Pendang di bawah Pas tetapi kerajaan BN tetap meneruskan program pembangunan kerana tidak mahu jurang yang ketara berlaku di kawasan lain. Saya yakin dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat kebelakangan ini, BN mampu memperoleh undi lebih besar," katanya.
Selain Md. Rozai yang bertanding di Parlimen Pendang, DUN Sungai Tiang pula akan dipertahankan sekali lagi oleh Suraya manakala Tokai oleh bekas Ketua Wanita UMNO Kedah, Fatimah Ismail yang pernah mewakili DUN Sungai Tiang.

No comments: