14 July 2006

AIS AIR BABI

Edisi KL: Ais air babi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Deninanbia@hmetro.com.my
SERI KEMBANGAN: Menjijikkan! Air batu kisar yang digunakan untuk menjadikan ayam serta ikan di Pasar Borong Selangor di sini, tahan lama dikesan dicemari limpahan air kotor dan wap dari beberapa stor bilik sejuk yang sarat dengan simpanan daging babi. Perbuatan keterlaluan itu menyebabkan rata-rata peniaga dan pembeli di pasar borong berkenaan bersungut kerana bimbang ayam atau ikan dijual dicemari najis dari air babi berkenaan, sekali gus haram dimakan.Difahamkan, beberapa stor menyimpan puluhan tan daging babi import berkenaan terletak bersebelahan stor ikan dan air batu yang turut digunakan kebanyakan peniaga di pasar borong terbabit.Akibatnya, sisa air dari stor daging babi itu mengalir ke luar lalu terkena pada ketulan air batu.Berikutan aduan yang diterima, sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di pasar borong terbabit, semalam.Dalam pemeriksaan kira-kira jam 10.30 pagi itu, pegawai terbabit terkejut apabila menemui beribu-ribu kotak berisi daging babi disimpan dalam 10 stor di kawasan bilik sejuk dan kilang ais di pasar itu.Lebih memeranjatkan apabila pegawai MPSJ mendakwa pihak pengurusan pasar terbabit belum memperoleh lesen daripada pihaknya bagi membolehkan bilik sejuk dan kilang ais itu beroperasi.Pegawai MPSJ yang ditemui dalam operasi berkenaan memberitahu, pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai penyimpanan daging babi di Pasar Borong Selangor berikutan pasar terbabit tiada perniagaan daging berkenaan sejak ia mula beroperasi lebih empat tahun lalu.Sumber berkata, hasil siasatan mendapati stor bilik sejuk berisi daging babi itu sudah digunakan sejak hampir setahun lalu berdasarkan pengakuan penyewanya.Siasatan lanjut mendapati, bilik menyimpan air batu terbabit ‘berjiran’ dengan deretan bilik sejuk menyimpan daging babi selain berkongsi longkang dan laluan yang sama.“Akibatnya kebanyakan bongkah air batu itu diatur di hadapan bilik sejuk menyimpan daging babi. Pada masa sama, air dari stor babi itu meleleh ke luar dan mencemari ketulan air batu berkenaan,” katanya.Menurutnya, ketulan air batu itu kemudian dikisar dan diedarkan kepada peniaga ikan dan ayam di pasar itu yang turut menyimpan produk jualan masing-masing di lokasi sama.“Apa yang pasti, perkara ini boleh menyentuh sensitiviti masyarakat dan pengguna Islam yang menyangka pasar besar itu bersih dan suci sepenuhnya daripada babi.“Sepatutnya, bilik sejuk menyimpan babi itu diletakkan di bangunan berasingan selain dibina tembok pemisah bagi memastikan tiada percikan air najis atau wap daging babi itu mengenai produk lain,” katanya.Menurutnya, percampuran air najis dengan air batu itu boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak.Bagaimanapun, dalam sesi mesyuarat ringkas ketika pemeriksaan itu, pihak pengurusan pasar terbabit memberi alasan daging babi berkenaan dipindah masuk ke bilik sejuk itu melalui pintu belakang. Dia mendakwa hanya akan mengambil tindakan jika diberi surat arahan `hitam putih’ sama ada perlu memindahkan daging babi atau membina tembok.Pada masa sama pegawai JPH turut mempersoalkan mengapa pasar terbabit perlu menyediakan khidmat menyimpan daging babi secara besar-besaran sedangkan ia pasar basah yang bebas daripada penjualan daging babi. Selain itu, sebilangan pekerja di bilik sejuk dan kilang ais terbabit yang beragama Islam turut tidak menyedari beribu-ribu kotak daging babi disimpan dalam stor terbabit.Berikutan terbongkarnya rahsia itu, beberapa peniaga di Pasar Borong Selangor meluahkan kekesalan selain mempersoalkan tindakan pihak pengurusan pasar borong yang menyimpan daging babi di pasar terbabit. ////

1 comment:

mohdkhairi said...

Ini bukan salah pihak penguatkuasaan sngt22...tapi org agama lain dah tak peduli dengan orng ISlam..nak peduli apa....org ISlam pon tak peduli dengan agama dia...
Nama aja Islam..kehidupan mcm kafir...bak kata Fuad Din dlm Abang...kalau baca memo yang depa nak bagi kat paklah...rasanya dah bagi...paklah tak reject pun...jawapannya.."kita akan kaji"..bengong....kalau baca memo yg depa hantaq tu lagi takutttt...