19 March 2008

DEB

Saudara Pengarang,

Utusan Malaysia
Berita Harian
Buletin Utama TV3
PDRM, Bukit Aman

Semenjak akhir-akhir ini kita mendapati bahawa akhbar Utusan Malaysia acap menyiarkan pendapat berbaur perkauman dalam ruangan forum mereka. Akhbar Berita Harian nampaknya lebih teliti dan cermat dalam menyiarkan pandangan rakyat dalam ruangan surat mereka. Adakah surat tersebut sememangnya benar-benar ditulis oleh rakyat atau hanya rekaan Saudara Pengarang akhbar Utusan Malaysia tidaklah dapat kita ketahui. Hanya Allah Maha Mengetahui akan kebenarannya. Pihak TV3 juga semakin nampak ada sedikit perubahan dalam cara pengolahan berita mereka. Syabas Berita Harian dan TV3, moga perubahan tersebut meningkat dan saksama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin Pihak PDRM dapat meneliti dan mengkaji akan tersiarnya pandangan demikian selepas 8 Mac 2008 lalu di akhbar Utusan Malaysia adakah menjurus kepada akta hasutan atau sebagainya dan mengambil tindakan sewajarnya yang perlu demi mencerminkan keharmonian kaum di Malaysia.

Saya ingin bertanyakan kepada Saudara Pengarang Utusan Malaysia, bilakah Dasar Ekonomi Baru yang kononnya untuk membantu Melayu diperkenalkan? Adakah rakyat Malaysia tahu duduk sebenarnya bilakah Dasar ini diperkenalkan dan bila jangka matangnya dasar ini?

Sewajarnya pihak Saudara Pengarang Utusan Malaysia mengambil inisiatif menerangkan apakah Dasar Ekonomi Baru di akhbar Utusan Malaysia secara berkala. Bilakah ianya dilaksanakan dan bilakah tempoh matangnya? Apakah objektif Dasar Ekonomi Baru sudah dikecapi? Apakah pula Dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan kita sekarang? Janganlah kita menjadi bodoh dan terus membodohkan rakyat yang sememangnya tidak faham dan membaca Dasar Ekonomi Baru yang sudah tamat tempoh pada tahun 1990-an.

Dan tindakan pihak Saudara Pengarang Utusan Malaysia saban hari hingga kini menyiarkan keluhan kononnya DAP yang anti Islam, DAP Anti Melayu, DAP Anti DEB seolah seperti menghasut kaum Melayu memandang serong akan kaum Cina dan DAP. Seharusnya pihak tuan mengambil inisiatif untuk mendamaikan prasangka buruk antara kaum; ini tidak pihak tuan seolah-olah cuba mengapi-apikan lagi perbezaan dan isu perkauman yang sudah lama cuba kita kebumikan. Seharusnya kaum Melayu mengambil ikhtibar daripada sikap Kaum Cina yang matang dalam Politik. Saban kali pilihanraya, mereka kaum Cina dapat menukar undi mereka daripada satu parti ke parti yang lain semata-mata inginkan perubahan dan menunjukkan mereka tidak dapat diperkotak-katikkan oleh mana-mana pemimpin yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka. Berlainan dengan kaum Melayu, dalam mana pihak tuan Saudara Pengarang Utusan Malaysia seolah-olah tidak dapat menerima jika kaum Melayu menunjukkan mereka juga ingin berubah dan berkebolehan menukar undi mereka demi memastikan kaum Melayu tidak terus diperkotak-katikkan oleh seglintir pemimpin Melayu yang kononnya berjuang untuk bangsa tetapi rupanya suka tidur lena hingga tidak tahu apa terjadi di sekelilingnya.

Saya bukanlah akhli DAP, bukan juga ahli PKR, PAS atau Umno. Saya merupakan seorang rakyat Malaysia yang dapat menggunakan akal fikiran saya untuk berfikir secara kritis.
Sedarlah pihak tuan, Saudara Pengarang Utusan Malaysia, tindakan pihak tuan mencerminkan ketidakmatangan pihak tuan dalam proses perjalanan demokrasi Malaysia. Semoga pihak PDRM dapat memainkan peranan sewajarnya demi membenteras isu perkauman berbau hasutan ini daripada terus merebak.

Dahulu, saban tahun tatkala BN masih memerintah Pulau Pinang, acapkali kita mendengar keluhan dan rintihan Pemimpin Umno Pulau Pinang terutamanya Setiausaha Umno Pulau Pinang dan Umno Jelutong khasnya akan nasib Melayu Pulau Pinang yang kurang terbela oleh Kerajaan Negeri. Tidak percaya? Moga pihak Tuan Saudara Pengarang Utusan Malaysia dapat masuk dan meneliti kembali arkib Utusan Malaysia dan bacalah kembali keluaran akhbar tuan sendiri tahun-tahun yang lampau. Tengoklah, setiap tahun mesti ada kokokkan oleh mereka terutamanya menjelang pemilihan Umno. Ini, apabila BN gagal terus berkuasa di Pulau Pinang, pimpinan Umno Pulau Pinang mengapi-apikan isu perkauman seperti mereka takutkan sesuatu? Adakah mereka takut akan projek yang gagal mereka miliki? Atau benarkah mereka takut akan nasib Melayu Pulau Pinang sebenar-benarnya? Sudah berapa ramai orang Melayu dihalau dari Pulau Pinang selepas Kerajaan Baru dibentuk selepas 8 Mac 2008 lalu? Sudah berapa ramai pula Orang Melayu yang berhijrah keluar dari Pulau Pinang semenjak berpuluh tahun lalu akibat 'kerakusan' pembangunan di Pulau Pinang yang tidak mampu mereka tumpang merasainya? Sediakan fakta tersebut dan barulah Saudara Pengarang dapat mendidik seluruh Masyarakat Malaysia terutamanya Setiausaha Umno Pulau Pinang berfikir secara matang.

Hentikanlah wahai Saudara Pengarang Utusan Malaysia akan menyiarkan surat-surat berbau perkauman demikian rupa. Janganlah bersikap seperti orang Gila Talak, atau Gila Meroyan kerana sikap demikian akan menerbitkan lagi perasaan benci akan Utusan Malaysia.

Pilihanraya sudah berlalu. Maka sekarang masanya untuk mereka yang terpilih menunaikan tanggungjawap. Demikianlah mereka yang menang di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan samalah tanggungjawap mereka seperti Kerajaan Persekutuan. Semuanya harus kita beri kerjasama erat kepada mereka untuk menjalankan tugas dengan berkesan.

Jika Kerajaan negeri tersebut gagal, kita akan tukar nanti. Demikianlah juga jika Kerajaan Persekutuan terus menerus gagal, kita akan terus menukar mereka secara total kemudiannya. Cubalah pihak Tuan, Saudara Pengarang Utusan Malaysia membantu menjadikan rakyat Malaysia berfikir secara matang dan bijaksana dan bukannya statik dengan pemikiran zaman 60-an, 70-an. Berubahlah demi anak bangsa Negara Malaysia yang tercinta.

Dan saya seru agar pihak tuan Saudara Pengarang Utusan Malaysia berani untuk menyiarkan pandangan saya dalam surat khabar pihak tuan esok tanpa sebarang perubahan maksud. Moga ianya dapat membantu pemikiran kolot zaman 60-an, 70-an menjadi bijaksana dan saksama.

Wallahualam


////diambil dari surat pembaca ...hasilkarya norizan

No comments: