21 February 2008

MASA DEPAN ANAKKU

Anak mata yang berkaca-kaca itu kurenung.
Melihat tembus ke wajah bercahaya zuriatku yang satu.
Abid Khalis kuberi nama.
Renungan itu mencetus kacau di dalam jiwa.
Ada resah, ada gelisah dan kelam diselubungi kesah.
Usiaku sudah separuh pergi. Apa yang tinggal adalah butir-butir masa yang kini disulam uban tanda hidup bukan lagi zaman mencuba-cuba. Pendirian hidup harus tersuluh jelas, arah tuju harus selesai ditentu.
Aku tidak boleh menoleh ke kiri dan kanan berbelah bagi, kerana hidupku bukan lagi aku sendiri.

Aku adalah seorang bapa. Bahawa dengan kebapaanku, aku datangkan satu nyawa ke alam kehidupan… dengan izin-Nya.
Aku membawa Abid Khalis ke dunia nyata.
Aku adalah bapanya , dan imam kepada sebuah amanah bernama keluarga.

MASA DEPAN

Dalam usiaku yang berbaki di hujung bilangan jari, ke masa depan yang bagaimanakah anakku bakal hadapi?
Apakah aku mahu menghantar anakku ke masa depan yang megah dengan pencakar langit yang mengoyak jiwa hamba manusia yang menghuni?
Apakah aku mahu menghantar anakku ke masa depan yang bangga dengan bilangan masjid yang sama banyak dengan pusat serenti?
Atau aku mahu menyediakan sebuah kehidupan yang ada segala-galanya buatnya…. kecuali damai, selamat, sejahtera, tenteram yang semua itu pernah dianggap tidak bermakna?
Mampukah anakku melihat cahaya ESOK jika HARI INI penuh korupsi? Mampukah anakku mengecap bahagia, jika teladan SEMALAM tidak ditoleh lantaran alpa?
Demi ESOK yang kuimpikan buat anak yang kubawa ke kehidupan ini, aku harus bijak bertindak di HARI INI.

Setiap undi adalah benih. Apa yang kau ingin anakmu tuai?
Dengan SEMALAM yang penuh iktibar dan cukup panjang tanpa perlu dipanjangkan lagi, aku mesti KELUAR MENGUNDI.
Aku memilih rencana kemanusiaan, keadilan, ketelusan, kebersihan dan kebajikan.
Bukan kemajuan yang saban tahun dicangkuk sekadar umpan!
Pilihanku… adalah masa depan anakku…




p/s: terima kasih saifulislam (POHON MAAF)

No comments: