03 February 2009

:: Menteri Besaq Kedah yang Cengei ::


Selepas PRU12, PAS mempunyai tiga orang Menteri Besar. Seorang menyambung tugas sebelumnya. Seorang menyandang tugas itu kerana DAP tak ada wakil rakyat Melayu dan PKR tak ada calon yang layak. Manakala, seorang lagi bertukar dari Ketua Pembangkang kepada Menteri Besar. Yang ini ialah Dato' Seri Azizan Abd Razak. Pegawai beliau memberitahu nama penuhnya ialah Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak.


Pertama kali saya pulang ke Kedah selepas PRU12, saya melihat gambar Azizan memakai baju Melayu dan kopiah putih. Kali kedua saya di Kedah, gambar dia memakai kot dan songkok hitam. Kali terakhir saya pulang ke Kedah, gambar beliau memakai tengkolok dan pakaian istiadat menyambut saya di Plaza Tol Alor Setar Utara.


Azizan tidak banyak kontroversi. Strategi politiknya hebat. Saya tabik kepada beliau.


Saya tahu ada orang PAS yang akan marah kerana saya puji Azizan berlebihan. Ada orang PAS kata, Azizan cenge. Cenge tu apa? Cenge tu prongoih. Prongoih tu apa? Aduh, susahlah kalau macam ni!


Beginilah, cenge tu garang.


Sewaktu bulan Ramadhan dulu, ada beberapa teman dalam PAS meminta Azizan menasihatkan penjaja bazar Ramadhan untuk tidak membuka gerai terlalu awal. Mereka tak seronok melihat penjaja membuka gerai seawal pukul 11 pagi sedangkan waktu berbuka puasa ialah lapan jam selepas itu.


Apabila cadangan itu dikemukakan kepada Azizan, beliau menjawab, "Hampa dok kira buka gerai awal, nu yang tak puasa macam mana?"


Apabila orang PAS kata Azizan cenge, saya jawab baguslah. Depa kata Azizan pernah jerqah Exco Kerajaan Negeri. Tak tahulah pula, saya tak pernah tengok Azizan jerqah lagi. Tapi, itu pun saya kata bagus. Nak jadi Menteri Besar kena cenge sikit supaya Exco tak la hemoi sangat. Kita bukan nak Exco kemere, tetapi jangan hemoi sangat.


shk, kalau tak faham apa tu "hemoi" dan "kemere", saya tak boleh nak bantulah!


Kalau tak cenge, nanti ada pegawai ambil kesempatan. Bila pegawai ambil kesempatan, nanti timbul masalah kepada parti dan kerajaan. Itu yang selalu berlaku kepada kebanyakan Menteri dan Menteri Besar. Oleh kerana sesetengah Menteri dan Menteri Besar tak cenge, maka pegawai jadi kongkalikong.


Mungkin kerana Azizan cenge, sehingga kini tak banyak isu negatif timbul dalam pentadbiran kerajaan negeri. Kalau ada pun, tak sampai ke pengetahuan umum.


Sifat cenge Azizan itulah yang menjadikan Lim Guan Eng kendur sedikit apabila dia mengkritik Azizan dalam isu penebangan balak di Kedah. Kata Lim Guang Eng, itu kawasan tadahan hujan.


Jawab Azizan, "Kalau kerajaan pusat tak bagi duit, saya tebang. Saya tebang."


Bagi media, itu "sound byte". Jawapan Azizan direct to the point. Ini berbeza dengan Menteri Besar Perak. Saya pernah mengikuti satu sidang media Menteri Besar Perak. Dia bagus, cuma jawapannya berjela-jela. Macam bagi ceramah. Wartawan terkebil-kebil tak tahu apa yang nak disebutkannya. Sidang akhbar tak sama dengan kuliah Mahgrib.


Apabila persatuan pemaju perumahan memprotes keputusan kerajaan negeri menaikkan kuota rumah Bumiputera kepada 50%, Azizan menjawab, "Kalau depa tak mahu buat rumah, kerajaan negeri sendiri akan buat rumah!"


Itu juga "sound byte".


Akhirnya, persatuan pemaju perumahan kendur dengan tuntutan itu.


Strategi politik Azizan lebih bersifat asimilasi, bukan konfrantasi. Dari seorang yang digambarkan memakai kopiah putih, songkok hitam dan kini bertengkolok. Apabila kerajaan negeri Perak dan Selangor menukar kereta Camry, Azizan kata, "Kami akan terus menggunakan Proton Perdana."


Itu asimilasi.


Ini berbeza dengan pendekatan di Perak. Saya tidak menyalahkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Kedudukannya dalam keadaan yang cukup "hostile" -- PAS ialah parti yang mempunyai ADUN paling sedikit, dihimpit oleh DAP dan PKR, serta ditentang oleh pembangkang yang ramai -- membuatkan beliau menjadi agresif.


Hubungan Azizan dengan istana cukup rapat dan ini membantu beliau mentadbir negeri dengan lebih mudah. Ada orang mengkritik Azizan yang (menurut mereka) kerap bermain golf. Apa masalahnya, bermain golf bukan haram. Kalau sudah mengkritik ke tahap itu, tandanya orang bankrap idea.


Azizan tidak mengamalkan pendekatan konfrantasi dengan UMNO kerana dia tahu PAS menang kerana ahli-ahli UMNO memberikan undi kepada parti itu. UMNO mungkin menafikannya, tetapi itulah hakikatnya.


Beberapa bulan lalu, saya berbual dengan tiga orang Ketua UMNO Cawangan di Kedah. Saya bertanya mereka mengenai prestasi Azizan sebagai Menteri Besar.


Jawapan yang saya terima ialah, "OK, tak ada masalah.""Tapi, Ustaz Azizan tu PAS ..." usik saya.Beliau menjawab, "Habis tu, apa masalahnya?"


Perbualan itu mengingatkan saya pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Kedah. Kami berbual di Langkawi sewaktu satu acara.


Saya bertanya, "Dato, saya anak Kedah. Saya ingat nak balik Kedah. Boleh, Dato?"


Cepat-cepat Dato' Seri Mahathir Khalid menjawab, "Ishk, hampa dok Kuala Lumpur la.. Bukan ada apa di Kedah!"


Itu jawapan seorang Menteri Besar yang pernah saya kunjungi rumahnya di Keramat sebelum beliau diangkat ke jawatan itu. Tentunya lebih elok kalau beliau berkata, "Baguih tu, apa yang hang boleh tolong negeri Kedah ni?" atau pun paling kurang, "Elok, elok .. hang mai pejabat, nanti kita bincang lanjut." Atau, "Nanti saya pi KL, kita jumpa, boleh sembang panjang lagi. Baguih kalau anak Kedah nak balik bantu negeri Kedah."


Jawapan Mahathir itu juga mengingatkan saya bagaimana usaha saya membuat temujanji dengan Menteri Besar Kedah sebelum itu juga tidak berjaya sehinggalah beliau meletakkan jawatannya.


Kedua-duanya mempunyai Setiausaha Politik dan pegawai khas yang mengenali saya secara peribadi. Itupun, nak buat temujanji tak dapat!


Nampaknya, sekarang bukan saya saja yang kena tinggal di sini, tetapi Mahathir Khalid juga perlu berpindah ke Kuala Lumpur.


Ini semua kerana Kedah sudah ada Menteri Besar yang cenge.


Oleh kerana Azizan cenge itulah, nampaknya susah untuk UMNO menawan semula negeri Jelapang Padi tu.


Bukan tak boleh, tapi susah.


Susah kerana Menteri Besar Kedah cenge!

///cengei = garang
kemereh = lekeh/cokia/ tak tegas
ini komen aku
bagi aku mb kedah lani, dia tak ligan wang ringgit, dia hanya nak tolong rakyat aja..
dia dah ada duit cukup..pencen pun dah ada..aku pernah baca profile kat mana ntah..pekerjaannya sekarang adalah pencen politik...lama sanagt jadik ADUN...hik..hikk
dia pernah jadik adun utk beberapa mb antaranya sanusi junid, syed razak, mahadzir khalid..
so dia dah cukup pengalaman..that why bila dlm sidang dun...dia bentang apa pun..org tak boleh nak "teng" or nak patahkan hujah dia..
itu yg aku nampak...
aku dengar org cerita..masa dia on the way nak opis...selepas jadik mb lah..dia singgah kat satu gerai/warung kot..nak beli roti canai...
bila dia berhenti kat kedai/warung tu..qamai pakat terpa mai..pastu nak belanja dia..nak salam..lahh
pastu dia kata..takpayahlah belanja...saya dah mb lani...saya lah belanja hangpa...hik..hikk
sampai habis roti canai kat warung tu..dia nak semua rakyat suka dan sejahtera..
aku pernah tengok sidang dun kedah...masa tu ada soalan dari yb sungai tiang, yb suraya...
yb suraya(adun bn ler nie) ada tanya soalan psl masalah penduduk siam..psl apa ntah..tanah kot...
sebelum mb jawap..
dia kata, saya dah perhalusi masalah tu, nanti saya akan selesaikan...
pastu dia siap puji yb suraya lagi..dia kata baguih..yb mcm ni lah yg kita nak..kerja kuat..dan sempat ucap tahniah lagi kat yb suraya sbb baru menang ketua wanita umno pendang...
tersenyum simpul aja aku tengok yb suraya tu..
pastu psl hal balak...kan satu masa hari tu heboh psl kedah nak tebang balak..keluar dlm paper, berita, dan lain2 media massa lagilah...
tahu apa mb jawap...dia kata "amboi surat khabaq nie...cerita mcm saya dah tebang habis semua balak dlm kedah nie" padahal satu anak balak pun saya tak tebang lagi....hik..hikk...malu surat khabaq lepas tu...
itu antara yg aku kutip /baca dan lihat dan dengar
pohon mb sehat2 selalu disamping exco2nya dan semua adun pas, bn,keadilan dan dap, utk bangunkan kedah..agar rakyat kedah sejahtera...
moga allah membalas jasa kalian semua diakhirat kelak...itupun kalau kalian berniat suci utk sejahterakan rakyat...jangan "kongkalingkung"sudahlah...

No comments: